Cara Paling Cepat Untuk Mempelajari Pembangunan Laman Web & Blog

Saya mula belajar mengenai pembangunan laman web semenjak masih di tingkatan 5. Waktu itu, saya belajar sedikit asas html dan css. Kemudian saya terbaca banyak artikel berbahasa Inggeris mengenai cara paling cepat untuk belajar membina sesebuah web. Cara yang dicadangkan ialah dengan menggunakan template web sedia ada dan mengubahnya berdasarkan kehendak sendiri dengan menggunakan pengetahuan koding kita yang sedia ada.

Penggunaan cara ini juga membolehkan saya mendapat job membangunkan laman web saya yang pertama (maaf, saya dah lupa webnya mengenai apa). Laman web tersebut saya bangunkan sepenuhnya dengan menggunakan pengetahuan terhad saya dalam html dan css. Alhamdulillah, walaupun hanya menggunakan template sedia ada yang diubahsuai, pemiliknya berpuas hati dengan hasil yang dilihat.

Mula kenal dan belajar mengenai WordPress

Kemudian, saya mula mengenali WordPress dan belajar mengenainya. Saya belajar berpandukan ebook tutorial Pakej Kit Blogger yang dihasilkan oleh Tuan Zulfadli SmartUsaha. Blog pertama saya yang menggunakan WordPress telah terkubur kerana lama tak dikemaskini dan kekangan waktu belajar. Waktu itu, saya belajar dan terus buat apa yang dicadangkan dalam ebook tersebut.

Menggunakan WordPress menyebabkan saya kurang memberikan fokus untuk memantapkan kemahiran koding saya (html, css, php). Ini kerana WordPress memudahkan saya untuk mendirikan sesebuah blog walaupun pengetahuan koding saya amat terhad. Masalah timbul apabila saya mendapat job untuk melakukan kustomasi pada blog WordPress. Kurangnya pengetahuan mengenai php dan css terutamanya menyebabkan setiap kerja yang saya lakukan pada WordPress menjadi lambat.

Cara Paling Cepat Belajar Mengenai Pembangunan Web dan Blog

Dari situ, saya mula memberikan perhatian kembali kepada mempelajari koding. Saya belajar dengan cara hands-on dan try-and-error dengan merujuk kepada blog-blog tertentu (kebanyakannya berbahasa Inggeris). Saya juga mengambil beberapa kursus dan tutorial online melalui beberapa web seperti Khan Academy dan Udemy (serta YouTube!). Semuanya saya lakukan dengan cara belajar dan terus buat.

Jadi, apakah caranya untuk belajar mengenai pembangunan web?

Sekarang, anda mungkin boleh agak apakah cara yang paling cepat untuk mempelajari pelbagai perkara berkaitan pembangunan web. Ya, caranya ialah belajar dan terus buat!