Perbezaan Jenis Web Hosting – Shared Hosting, Dedicated Hosting, VPS Hosting & Cloud Hosting

Ingin buat web atau blog? Anda sudah tentu memerlukan hosting. Walau bagaimanapun, terdapat pelbagai jenis web hosting berbeza yang anda boleh pilih. Antaranya ialah shared hosting, dedicated hosting, vps hosting serta cloud hosting.

Bagi yang baru berjinak dengan pembangunan web mahupun WordPress, kepelbagaian hosting ini mungkin agak mengelirukan. Oleh itu, artikel ini ditulis khas bagi menjelaskan kekeliruan berkenaan jenis web hosting yang pelbagai ini dengan cara yang mudah.

Sebelum itu, mungkin lebih elok jika saya mulakan dengan ..

 

Apa yang dimaksudkan dengan hosting?

Jika sebelum ini artikel blog ini berkongsi tentang domain, yang merupakan alamat ataupun nama bagi web dan blog, hosting pula bolehlah dianggap sebagai ruang penyimpanan bagi bahan-bahan web berkenaan.

 

Web hosting = komputer

Ketika anda melawat satu-satu laman web, pelayar web yang anda gunakan (Chrome, Firefox, etc) sebenarnya menerima kod ataupun bahasa pengaturcaraan yang pelbagai (seperti html dan css).

Kod-kod ini kemudiannya ditukarkan ke dalam bentuk yang anda boleh fahami iaitu gambar, baris dan kolum ayat, butang dan lain-lain.

Gambar-gambar serta fail teks asal yang dirujuk oleh kod-kod ini pula disimpan di dalam satu ruang yang dipanggil hosting. Jika pada komputer, ‘hostingnya’ adalah cakera keras (hard disk) komputer tersebut.

Pada komputer anda juga, terdapat cip pemprosesan (AMD, Intel) yang membolehkan anda menjalankan operasi-operasi seperti memanggil fail, menyalin fail, memadamkan fail dan sebagainya.

Itulah sebenarnya yang dimaksudkan dengan hosting, ataupun istilah yang lebih tepat lagi ‘server’. Ianya tidak lain dan tidak bukan ialah sebuah komputer yang menyimpan fail dan bahan untuk web serta berkemampuan untuk menjalankan pelbagai operasi ke atas fail dan bahan tersebut.

Jenis Web Hosting

 

4 jenis web hosting untuk hoskan web dan blog anda

Seperti tajuk artikel ini, terdapat 4 jenis web hosting yang boleh digunakan untuk mengehoskan web dan blog. Sebelum mula membina web, tentukan terlebih dahulu jenis hosting yang diperlukan.

 

 

Shared hosting – pilihan paling murah dan sesuai untuk yang baru bermula

Jenis web hosting ini merupakan jenis hosting perkongsian pada skala yang besar. Pada satu-satu masa, server untuk jenis hosting ini mungkin mengehoskan beratus ataupun beribu buah website.

Shared Hosting

Hosting jenis ini berkongsi semua sumber yang anda dengan semua pengguna. Sebagai contoh, jika terdapat web yang dihoskan pada shared hosting ini menerima trafik pengunjung yang terlalu ramai, web lain yang dihoskan pada server yang sama mungkin turut terkesan.

Kesannya mungkin web menjadi terlalu perlahan untuk dipaparkan, atau langsung tidak dapat diakses.

Sememangnya penyedia hosting jenis ini melakukan pelbagai perkara bagi memberikan servis yang terbaik kepada setiap penggunanya.

Contohnya dengan cara bekerjasama dengan pemilik web ataupun melumpuhkan seketika web yang menjadi punca masalah tersebut sehingga masalah berkenaan selesai.

Jika anda mempunyai bajet terhad, jenis hosting ini merupakan pilihan terbaik bagi ‘mengonlinekan’ jenama ataupun bisnes anda.

 

Dedicated hosting – pengunjung web terlalu ramai? hosting ini mungkin paling sesuai untuk anda

Anda mempunyai sebuah perniagaan yang telah lama di’online’kan. Web bisnes anda pula, mungkin sebuah web e-commerce, menerima pengunjung yang terlalu ramai yang ingin membuat pembelian produk jualan anda. Ini antara jenis hosting yang sesuai untuk anda.

Dedicated Hosting

Jika anda mengehoskan web anda ini di shared hosting, web anda mungkin lambat untuk dipaparkan atau mungkin terus dilumpuhkan buat sementara oleh penyedia hosting.

Dengan dedicated hosting, kesemua sumber dalam satu-satu server hanya digunakan untuk mengehoskan web anda. Oleh itu, web anda tidak akan terganggu dengan web-web lain, begitu juga sebaliknya.

Walau bagaimanapun, pengurusan untuk hosting jenis ini memerlukan anda mahir dengan teknologi sever. Ini tiada masalah kerana jika anda mampu menggunakan dedicated hosting, sudah tentu anda juga mampu mengambil khidmat seorang pembangun dan pengurus web 🙂

 

VPS hosting – hosting perkongsian dengan bilangan pengguna terhad

VPS ataupun Virtual Private Server mungkin pilihan terbaik jika anda tidak mahu web orang lain mengganggu prestasi sebenar web anda.

Ini kerana, walaupun vps hosting masih merupakan hosting yang dikongsi dengan pengguna lain, perkongsian tersebut dilakukan dengan pengguna yang tidak terlalu ramai. Malah, kaedah perkongsian yang dilakukan juga berbeza.

VPS Hosting & Cloud Hosting

Pada shared hosting, kesemua sumber dalam satu-satu server dikongsi bersama. Sebagai contoh, katakan satu-satu server mempunyai memori 5GB RAM dan 100GB ruang penyimpanan, semua pengguna (katakan terdapat 5 pengguna) server tersebut berpeluang menggunakan kesemua 5GB dan 100GB ruang tersebut.

Andaikan terdapat pengguna shared hosting yang membina satu web fotografi. Web tersebut pula menggunakan banyak ruang bagi menyimpan gambar yang dikongsikan, contohnya sehingga 50GB. 4 pengguna yang lain akan hanya berpeluang menggunakan 50GB sahaja ruang yang tinggal.

Pada vps hosting pula, kesemua sumber dalam satu-setu server dikongsi bersama secara sama rata.  Contohnya pada server dengan kapasiti 5GB RAM dan 100GB ruang simpanan, setiap seorang daripada 5 pengguna server tersebut akan mendapat 1GB memori dan 20GB ruang simpanan untuk digunakan.

Oleh sebab itu, sekiranya web anda menggunakan hampir kesemua 1GB memori RAM yang disediakan, web anda mungkin akan menjadi perlahan ataupun lumpuh, namun web pengguna lain tidak akan terjejas. Begitu juga sebaliknya.

Satu kelebihan menggunakan vps hosting ialah, anda mempunyai fleksibiliti untuk menambah sumber yang diperlukan untuk web anda samada memori ataupun ruang simpanan, dengan sedikit kos, sejajar dengan perkembangan web anda.

 

Cloud hosting – vps hosting dengan lebih fleksibiliti

Cloud hosting sebenarnya adalah hosting dengan prinsip yang sama dengan vps hosting.

Pada vps hosting tradisional, anda hanya boleh menambah sumber yang diperlukan untuk web anda sehingga ke satu tahap yang dibenarkan oleh perkakasan (hardware) server tersebut.

Pada cloud hosting pula, sumber yang diperlukan boleh ditambah dalam skala yang lebih besar. Ini kerana, hosting berasaskan awanan ini membenarkan anda menggunakan sumber daripada banyak server yang terdapat dalam satu-satu rangkaian.

Kebanyakan penyedia vps hosting sekarang telah menukarkan sistem vps hosting yang disediakan oleh mereka kepada sistem awanan. Jadi, anda mungkin hanya akan melihat 3 pakej hosting pada sesetengah penyedia hosting iaitu pakej shared hosting, pakej dedicated hosting serta pakej cloud hosting.

Rumusan mengenai jenis hosting – shared, vps, dedicated dan cloud hosting

Anda mungkin hanya memerlukan shared hosting. Mungkin jika anda pemilik sebuah perniagaan yang besar, dedicated hosting lebih sesuai. Sekiranya anda mahukan fleksibiliti dan kemudahan untuk diuruskan, dengan ciri seakan dedicated hosting, vps hosting ataupun cloud hosting boleh dipertimbangkan.

Terdapat banyak penyedia hosting yang bagus dan antara penyedia hosting tempatan yang saya cadangkan ialah NetKL ataupun ServerFreak. Jika anda ingin mencuba servis hosting daripada penyedia luar, HawkHost dan SmartHosting adalah antara yang baik untuk dicuba. Hampir kesemua penyedia hosting yang dicadangkan ini menyediakan kesemua jenis web hosting yang dinyatakan dalam artikel ini.

Ingin tahu apa hosting yang digunakan oleh weblog ini? Blog ini menggunakan cloud hosting yang disediakan oleh Digital Ocean.

 

* Anda akan mendapat kredit sebanyak $10 USD untuk digunakan pada Digital Ocean cloud jika anda sign up melalui link ini.